| Sejarah Pembinaan |
Pada tahun 1997 di atas perbincangan dan permuafakatan serta inisiatif daripada Ahli Jawatan Kuasa Surau Al-Jami'ah dikalangan kariah taman-taman yang berada dipersekitaran Kg. Cina telah berusaha dan telah mendapatkan kelulusan daripada Pejabat Agama Daerah Manjung dan Pejabat Daerah & Tanah Manjung melalui sokongan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Perak untk merizabkan kawasan ini kepada pembinaan surau.
Pada tahun 1996, pihak pengurusan surau yang dipengerusikan oleh En Suieb dan Setiausaha, Tn Hj Abas telah membuat satu gerak kerja bagi mendapatkan kelulusan untuk mengutip derma bagi pembinaan surau yang dianggarkan berjumlah RM120,000. Hasil daripada kutipan derma yang dijalankan, Ahli Jawatankuasa Pembangunan telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM36,000.00. Hasil dari kertas kerja yang dimajukan, pihak surau telah memdapat kelulusan peruntukan kewangan sebanyak RM120,000.00 daripada Pejabat Menteri Besar (Peruntukan PLB) untuk membangunkan sebuah surau dikawasan Kg Cina pada tahun 2001. Pada awal 2002, pembinaan surau telah mula dilaksanakan dan siap sepenuhnya pada bulan Mei 2002 dan telah mula digunakan sejurus siap pembinaan.
Pada tahun 2012, satu kertas kerja telah disiapkan untuk mendapatkan peruntukan kewangan dari PLB yang bertujuan untuk membuat pembesaran bangunan surau atas sebab jemaah yang bertambah dari semasa ke semasa.
Pada tahun berikutnya iaitu 2013, pihak pengurusan surau sekali lagi telah membuat satu kertas kerja untuk permohonan Surau Diri Jumaat ke Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak. Pada tahun 2013 juga, pihak surau telah mendapat kelulusan daripada Pejabat Menteri Besar untuk membuat pembesaran surau dengan kelulusan peruntukan sebanyak RM150.000.00.Kerja-kerja pembinaan telah bermula pada bulan Februari dan telah siap sepenuhnya pembesarab tersebut pada bulan April tahun yang sama.
Pada tahun 2014, berlanjutan daripada kertas kerja bagi permohonan naik taraf Surau kepada Surau Diri Jumaat Al-Jami’ah, pihak surau telah mendapat kelulusan dari Jabatan Mufti Negeri Perak untuk kelulusan tersebut pada bulan Oktober 2014.
Pada 8 Dis 2020 sekali lagi Pihak Pengurusan SDJAJ telah membuat permohonan untuk menaik taraf SDJAJ ke Masjid. Sukacita dimaklumkan bahawa Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPK) telah meluluskan permohonan kami bagi menaik taraf SDJ kepada Masjid. Namun kelulusan ini telah pun disemak dan diperakui untuk kelulusan sebagai Masjid dengan bersyarat iaitu setelah proses perberimilikan tanah tersebut kepada MAIPK selesai.
Setelah mendapat keputusan ini, pihak SDJAJ telah membuat permohonan tiga(3) cadangan tarikh pengistiharan Masjid kepada Pejabat Agama Daerah Manjung, namun proses pemilihan tarikh tidak mendapat maklumbalas kerana proses pemberimilikan tanah masih belum selesai.
Pada 29 Sep 2023, Pihak Pengurusan SDJAJ terdiri daripada Pengerusi, Tim. Pengerusi dan Setiausaha telah membuat sesi perjumpaan bersama Ketua Penolong Pegawai Daerah (T) bagi membincangkan status geran tanah SDJAJ. Dalam perbincangan tersebut, dimaklumkan Warta Kerajaan belum diperolehi oleh Pejabat Tanah Manjung.
Sehubungan itu, sekali lagi pada 12 Okt 2023 pihak Pengurusan SDJAJ telah membuat Surat Permohonan Status Pemilikan Geran Tanah bagi SDJAJ secara bertulis ke Pejabat Daerah dan Tanah Manjung, namun tiada maklum balas diterima.
Pada 23 Nov 2023, sekali lagi Pihak Pengurusan SDJAJ terdiri daripada Pengerusi, Tim. Pengerusi dan Setiausaha telah membuat sesi perjumpaan bersama Orang Besar Jajahan Manjung, YDH. Toh Seri Bijaya Lt. Kol (B) Dato’ Shaharudin bin Haji Nazari bagi membincangan perkara tersebut.
Setelah mendapat surat kelulusan menaik taraf SDJ kepada Masjid dari Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPK), pihak Pengurusan SDJAJ telah mengambil tindakan seterusnya iaitu telah membuat persiapan awal seperti menaik taraf bahagian solat utama dengan memasang mihrab, niat iktikaf dibahagian dinding hadapan solat utama, sound system dan tembok tanda nama SDJAJ kepada Masjid Al-Jamiah. Namun demikian, setelah perancangan asal telah tidak menepati seperti yang dirancang, pihak Pengurusan SDJAJ telah menutup sementara huruf niat iktikaf dan tembok tanda nama masjid.
Pada 8 Nov 2024, Pejabat Pengarah Tanah Dan Galian, Ipoh telah memberi kelulusan geran pemilikan tanah kepada MAIPK di atas nama Bangunan Tapak Surau dan Sekolah Agama Rakyat (wakaf khas).
Pada 21 Feb 2025, Surat Kelulusan pengistiharan naik taraf Surau Diri Jumaat ke Masjid telah diluluskan dan pengistiharan akan disempurnakan oleh Af Haji Saifudin bin Mohd Nawawi, Pegawai Tadbir Agama Daerah Manjung pada 28 Feb 2025.
Pada 19 Mac 2025, Jabatan Agama Islam Perak, Bahagian Pengurusan Masjid telah mengeluarkan Sijil Pendaftaran Rumah Ibadat Islam di atas kategori MASJID JAMEK.
Ahli Jawatankuasa dan Pegawai Masjid berhasrat untuk mengimarahkan dan merialisasikan Masjid sebagai Masjid contoh di Daerah Manjung. Perkara ini perlu seiring dengan pelaksanaan dan program-program yang dirancang dan dilaksana secara berterusan demi kebaikan ummah dan penduduk persekitaran. Semoga dengan usaha murni yang dilakukan oleh perintis-perintis terdahulu dan yang sedia ada sekarang diberi ganjaran sewajarnya oleh Allah SWT. |